Akta kurangkan kesan Covid-19 diwarta esok

0
2

AKTA Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Covid-19 2020 akan diwartakan esok setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Ia selaras Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan setelah akta tersebut diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Ogos dan Dewan Negara pada 22 September lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata akta itu berkuat kuasa selama dua tahun dan pelaksanaannya secara keseluruhan memberi manfaat kepada individu dan syarikat yang terkesan dari aspek ekonomi akibat penularan Covid-19.

“Pada masa sama, pihak-pihak berkontrak yang bertikai boleh menyelesaikan pertikaian secara baik tanpa melibatkan proses
perbicaraan undang-undang di mahkamah melalui perkhidmatan pengantaraan Pusat Mediasi Covid-19 (PMC-19) yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Perkhidmatan pengantaraan yang akan dijalankan melalui PMC-19 adalah terbuka kepada semua pihak dengan nilai pertikaian RM300,000 ke bawah.

“Kerajaan juga akan membiayai kos perkhidmatan pengantaraan kepada golongan B40 dan M40 serta perusahaan bersaiz mikro dan kecil,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan pengantaraan ini boleh diajukan melalui [email protected]. – Malaysiapost