Pembangkang boleh bergerak isu lain – Nik Abduh

0
3

NIK Mohamad Abduh Nik Aziz menyelar tindakan pembangkang memainkan isu Menteri Perusahaan Ladang dan Komoditi melanggar perintah kuarantin bagi meraih perhatian rakyat.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berkata, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah bebas dan tidak pun melakukan sebarang kesalahan sepertimana dakwaan musuh politik sebelum ini.

Beliau berkata, atas kekhilafan isu kuarantin selepas pulang dari luar negara, Jabatan Peguam Negara mengambil keputusan tidak mengenakan sebarang dakwaan ke atas Menteri itu disebabkan kekurangan bukti, sekali gus gagal memenuhi beban pembuktian yang diperlukan di bawah peruntukan undang-undang.

“Adalah amat jelas, tiada arahan dikeluarkan kepada beliau untuk melaksanakan kuarantin diri pada bila-bila masapun sebaik pulang dari luar negara.

“Oleh itu, sebaik isu ini dipanaskan sebelum ini, beliau telahpun memohon maaf secara terbuka, berbesar hati mengaku bersalah ‘secara sukarela’ bagi menutup kekhilafan oleh pihak lain.

“Beliau juga membayar kompaun maksimum yang dikenakan ke atasnya dan secara sukarela juga memotong gajinya selama tiga bulan, adalah elok untuk kita menerima keputusan Peguam Negara dengan penuh lapang dada,” katanya menerusi Facebook.

Malah, Nik Mohamad Abduh turut mengucapkan terima kasih kepada pembangkang kerana membuat aduan kepada polis agar Dr Mohd Khairuddin disiasat demi ketelusan dan integriti.

“Walaupun keputusan hari ini tidak memihak dan menggagalkan pembangkang untuk terus memanaskan isu ini, tetapi nyata kebenaran telah diangkat dan diletakkan pada tempat yang mulia,” katanya.

Justeru, tambahnya, sementara kebenaran yang dinantikan ini dirayakan oleh pencintanya.

“Pembangkang boleh bergerak kepada isu lain yang lebih bertenaga untuk menarik undi rakyat.

“Lagipun politik negara tidak berapa stabil sekarang? Pakatan Harapan (PH) pun dah memang terkenal mampu menjadikan seekor nyamuk sebagai seekor gajah. So go on.

“Apapun mari kita bersatu menangani pandemik Covid-19 yang masih melanda negara. Patuhi dan amalkan SOP yang ditetapkan kerajaan. Semoga Allah memudahkan urusan kita semua insya-Allah,” katanya. – Malaysiapost