Sokong tindakan Presiden Umno

0
2

BEBERAPA ahli politik menyokong pendirian Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk melakukan gencatan politik.

Ia bertujuan bagi memastikan agenda menangani Covid-19 dan membantu rakyat yang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi dapat diutamakan.

Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, pendirian kepimpinan Umno untuk fokus penyelesaian pandemik Covid-19 merupakan tindakan terbaik bagi semua pihak baik parti politik mahupun rakyat.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih pada Ahmad Zahid yang konsisten berjiwa besar dalam meletakkan kepentingan serta kesejahteraan rakyat di hadapan.

“Saya harap seluruh kepimpinan Umno semua peringkat menyambut baik keputusan parti untuk bekerja keras membantu rakyat di kawasan masing-masing kerana sejak dahulu hingga kini, Umno konsisten dalam politik khidmat bakti kepada rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, mereka mengambil maklum dan menghormati kenyataan yang telah dibuat Presiden Umno hari ini.

Namun, pada masa sama, katanya, PKR akan mengekalkan usaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan kebersamaan Ahli-Ahli Parlimen yang mendokong cita-cita dan harapan yang sama untuk memperbetulkan halatuju kepimpinan negara terutama dalam usaha memerangi wabak Covid-19.

“Menyuntik semangat dan membangun semula ekonomi serta melipat gandakan usaha menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pemuda Umno dalam kenyataan, turut menyambut baik keputusan kepimpinan tertinggi parti melakukan gencatan politik demi memastikan agenda menangani Covid-19 beroleh kemenangan.

Umno membuktikan, parti terbesar orang Melayu itu prihatin dengan masalah rakyat, terutama ketika ini dalam kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi serta dampak negatif daripada pendemik.

Sayap parti itu juga menegaskan, sudah tiba masanya semua ahli politik tidak kira parti mana sekalipun melakukan gencatan politik atas nama Perdamaian Nasional untuk memikirkan solusi terbaik bagi mensejahterakan kepentingan rakyat. – Malaysiapost