Muhammad Mustakim Ramli
LAPAN belas kluster aktif penularan Covid-19 di Selangor tiada kaitan dengan mereka yang pulang dari Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, berkata jumlah itu atau kira-kira 69.2 peratus keseluruhan kes di Selangor adalah kluster jangkitan tempatan.
“Hanya lapan kluster atau 30.8 peratus sahaja adalah mereka yang pulang dari Sabah.
“Virus Covid-19 sudah ada di persekitaran komuniti kita,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, enam kluster terbaru sejak 11 Oktober 2020 adalah jangkitan tempatan.
“Sebanyak sembilan kluster atau 34.6 peratus ada kaitan amat rapat dengan jangkitan di tempat kerja.
“Manakala satu kluster lagi atau 3.8 peratus adalah di Mall (pasaraya),” katanya.
Semalam dilaporkan 132 kes baharu Covid-19 dicatatkan di Selangor, di mana 84 kes dari kluster sedia ada, 34 saringan kontak rapat, dua saringan pulang dari tempat berisiko tinggi dan 12 lain-lain saringan Covid-19.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memaklumkan, sebanyak lima daerah di Selangor zon merah iaitu Hulu Langat dengan 49 kes; Petaling (39); Gombak (12) dan Kuala Langat serta Klang (11). – Malaysiapost
