PENGURUSAN Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan sebanyak 83 peratus atau 1,077 kawasan yang terjejas sudah menerima bekalan sehingga jam 6 pagi tadi.
Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri, berkata pihaknya telah memaksimakan usaha memulihkan bekalan air kepada pengguna terjejas.
“Sehingga jam 6 pagi tadi, sejumlah 1,077 kawasan telah menerima bekalan air sepenuhnya dari 1,292 kawasan terjejas.
“Justeru itu, sebanyak 215 kawasan di wilayah yang terjejas masih lagi dalam proses pemulihan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, berikutan itu Air Selangor menjangkakan pemulihan sepenuhnya untuk kesemua kawasan yang terjejas adalah pada jam 8 pagi, esok.
“Pengguna disarankan untuk membiarkan air pili mengalir sehingga jernih sebelum digunakan.
“Air Selangor berharap pengguna yang mendapat bekalan air akan menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya.
Beliau berkata, sumber air bersih ini telah melalui ujian kualiti dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan pematuhan tersebut telah disahkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
“Bantuan bekalan alternatif di pili—pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih lagi disediakan untuk kemudahan para pengguna yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini,” katanya.
Beliau berkata, Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Intagram Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com.
Kelmarin, dilaporkan lebih 1.1 juta akaun pengguna di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air berikutan penutupan empat Loji Rawatan Air (LRA) akibat pencemaran di Sungai Selangor.
Gangguan air tidak berjadual itu membabitkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor serta Kuala Langat. -Malaysiapost




