PANDEMIK Covid-19 bukan penghalang Sarawak mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 mengikut undang-undang, kata Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing.
Ditanya mengenai kebimbangan rakyat negeri itu akan menerima nasib sama seperti Sabah yang menyaksikan peningkatan kes selepas mengadakan PRN bulan lalu, katanya, ia masih boleh diadakan dengan syarat prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dengan ketat, lapor Bernama.
“Covid-19 adalah satu faktor tetapi ada negara yang mengadakan pilihan raya pada tempoh pandemik ini. Antaranya Singapura, Korea Selatan dan baru-baru ini, New Zealand.
“Mereka mengadakan pilihan raya tanpa masalah dengan syarat SOP dipatuhi dengan ketat,” kata Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu.
Masih berkata, Sarawak tiada pilihan kerana jika PRM tidak diadakan sekarang, secara automatik Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dibubarkan apabila cukup tempoh lima tahun iaitu pada Jun 2021.
Beliau juga menambah tidak tahu jika ada apa-apa peruntukan yang membolehkan sesuatu pilihan raya ditangguhkan.
Beliau mengulangi bahawa sekiranya pilihan raya tidak diadakan, pada Jun tahun hadapan DUN akan dibubarkan dan Sarawak tidak akan mempunyai kerajaan.
“Keputusan untuk membubarkan DUN untuk memberi laluan kepada pilihan raya terletak kepada ketua menteri,” tambahnya. – Malaysiapost

