PBS ‘lepaskan’ Batu Sapi demi keselamatan rakyat

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

PARTI Bersatu Sabah (PBS) mengambil keputusan untuk tidak menyertai pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang dijadualkan Disember ini.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata keputusan itu diputuskan Biro Politik dalam mesyuarat parti, baru-baru ini.

Katanya, walaupun Batu Sapi adalah kerusi tradisi yang ditandingi parti itu, namun PBS mengambil langkah tidak bertanding kerana situasi Covid-19 di Sabah.

“Sabah terus mencatat jumlah kes positif Covid-19 tertinggi di negara ini, di mana jumlah kes tiga angka dalam tempoh beberapa hari ini.

“Oleh kerana keadaan Covid-19 yang makin buruk, PBS memutuskan untuk mengundur diri dari bertanding di kerusi berkenaan, “ katanya.

Beliau berkata, keutamaan PBS kini adalah keselamatan dan kesihatan penduduk Sandakan dan pengundi di Batu Sapi.

Katanya, walaupun belum pasti lagi sama ada parti di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding, PRS akan memberi sokongan dan ia sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PRK Parlimen Batu Sapi diadakan susulan kematian Vui Keong.

Berdasarkan rekod, Parlimen Batu Sapi pada awalnya pernah menjadi kubu kuat BN sebelum ‘dirampas’ Warisan ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), pada 9 Mei 2018 lalu.

Meneliti keputusan PRU-14, Datuk Linda Tsen Thau Lin, yang mewakili PBS kecundang selepas tewas di tangan Vui Keong, dengan majoriti 4,619 undi. -Malaysiapost