Fitri Nizam
MAJIKAN di tiga lokasi iaitu Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur diarahkan untuk membenarkan pekerjanya di bahagian pengurusan dan pengawasan untuk bekerja di rumah mulai Khamis ini.
Arahan itu dikeluarkan berikutan terdapat sembilan kluster yang dikesan membabitkan penularan di tempat kerja setakat semalam.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata tindakan itu antara lain bagi mengurangkan pergerakan membabitkan hampir satu juta pekerja di kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Beliau berkata, dengan arahan yang dikeluarkan itu melibatkan seramai 800,000 pekerja di sektor swasta dan 200,000 pekerja awam.
“Antara bidang pekerjaan yang tidak terlibat dalam arahan ini adalah membabitkan pengurusan kewangan, penguatkuasaan dan kebajikan.
“Bagaimanapun, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengeluarkan maklumat lanjut berhubung jenis pekerjaan yang perlu kerja di rumah dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media, hari ini.
Ismail Sabri berkata, bagi golongan pekerja yang perlu terus bekerja di pejabat, kerajaan bersetuju untuk menjalankan ujian swab kepada kumpulan ini.
“Bagi mereka yang mencarum dengan PERKESO kos ujian saringan akan ditanggung badan itu.
“Pelaksanaan ujian saringan ini adalah untuk memastikan mereka yang perlu bekerja di pejabat negatif Covid-19 manakala yang positif akan dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Beliau berkata, mereka yang diarahkan bekerja dari rumah akan terus berada di rumah sehingga PKPB diisytiharkan tamat. -Malaysiapost

