Covid-19: Kampung Saguking Laut, Sebor Baru kena PKPD

0
1

Fitri Nizam

KERAJAAN bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Saguking Laut dan Sebor Baru di Labuan selepas berlaku peningkatan kes Covid-19 di lokasi terbabit.

Pelaksanaan PKPD di dua lokasi itu berkuatkuasa 21 Oktober sehingga 3 November membabitkan 8,062 orang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, berkata pelaksanaan PKPD di lokasi terbabit adalah bagi membolehkan pergerakan keluar masuk ke kawasan itu dikawal selain memudahkan kerja-kerja saringan yang akan dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, empat agensi akan melaksanakan peguatkuasaan di lokasi terbabit iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

“Semua penduduk perlu menjalani kuarantin di rumah dan tidak dibenarkan keluar daripada kawasan ini sama sekali kecuali membabitkan kes kecemasan.

“Sepanjang PKPD ini, kebajikan penduduk akan diselia Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata, semua aktiviti di luar tidak dibenarkan termasuk aktiviti keagamaan, sosial dan sistem barter yang dijalankan di kawasan terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan memberikan sedikit kelonggaran dengan membenarkan kedai runcit dan premis perniagaan makanan untuk beroperasi namun hanya untuk dibungkus.

“Kedai runcit dan premis makanan hanya dibenarkan beroperasi sehingga jam 6 petang,” katanya. -Malaysiapost