Fitri Nizam
KES positif Covid-19 yang dicatatkan negara hari ini masih tidak menunjukkan tanda penurunan apabila mencatatkan 862 kes baharu.
Berdasarkan jumlah itu, 860 daripadanya adalah membabitkan penularan tempatan manakala dua lagi adalah kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah keseluruhan penularan tempatan, sebanyak 673 kes adalah dicatatkan di Sabah termasuk 231 kes dari Penjara Kepayan.
Katanya, setakat jam 12 tengah hari ini, Selangor turut mencatatkan peningkatan apabila merekodkan 132 kes baharu.
“Selain itu, Kedah (17), Perak (9), Pulau Pinang (8), Labuan (6), Negeri Sembilan (6), Kuala Lumpur (7), Putrajaya, Johor, Kelantan dan Sarawak masing-masing mencatatkan satu kes,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau turut memaklumkan terdapat tiga kes kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kes kematian di negara sebanyak 193 iaitu 0.87 peratus.
“Sehingga kini, terdapat 95 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 29 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya. -Malaysiapost

