Calon PM: Masih ada yang layak selain Tun M

0
1

Nurul Huda Abhar

AHLI Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh mempersoalkan cadangan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri untuk kali ketiga sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, sebelum ini Dr Mahathir telah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri kononnya disebabkan tidak mempunyai majoriti.

Malah, katanya perkara itu diputuskan Dr Mahathir tanpa berunding terlebih dahulu dengan anggota Kabinet yang lain.

“Sebagai rakyat Malaysia, saya mempunyai hak untuk meragui dan mempersoalkan cadangan pelantikan tersebut kerana masih terdapat calon lain yang layak.

“Adakah kita akan melantik orang yang sama dan yang berjanji kepada negara bahawa beliau akan menyerahkan “baton” kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada suatu ketika, tetapi hari ini memaklumkan bahawa pelantikan (Anwar) itu adalah salah?

“Mengapa memberitahu kami bahawa jika anda (Dr Mahathir) fikir dia (Anwar) tidak sesuai? Untuk meraih undi?,” katanya di Facebook, hari ini.

Ramkarpal berkata, sebelum ini beliau mempercayai kenyataan Dr Mahathir yang menjanjikan pembaharuan berhubung pelantikan Presiden Parti Keadilan Rakyat tersebut selepas memenangi PRU lalu.

Beliau berkata, namun Dr Mahathir hanya berbohong kepada Anwar mengenai penyerahan tampuk pentadbiran negara kepadanya.

Katanya, tindakan bekas Perdana Menteri itu hanya merosakkan imej badan kehakiman, termasuk menahan ramai individu yang menentangnya.

“Masih ingat dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)? Saya menyesal kerana pernah bekerjasama dengan anda. Anda punca kepada keadaan negara hari ini.

“Anda (Dr Mahathir) punca negara ini memerlukan pembaharuan. Dan hari ini anda mengatakan anda mahu ‘menyelamatkan negara’ ? Anda adalah orang terakhir yang boleh,” katanya.

Baru-baru ini, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mencalonka Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga PRU-15.

Menurut parti serpihan Bersatu itu, ia adalah untuk menyelamatkan negara sementara menunggu pilihan raya akan datang. – Malaysiapost

Foto: Kredit Facebook