Rakyat United belum sah, Annuar pula berminat

0
2

KEWUJUDAN Rakyat United untuk bersaing dalam Liga Malaysia masih belum sah, kata Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam, berkata pihaknya harus memperhalusi terlebih dahulu dokumen yang dihantar oleh pihak pengurusan pasukan.

“Pasukan Rakyat United belum sah lagi dan terdapat banyak khabar angin mengenai status pasukan itu dalam liga tempatan tetapi buat masa ini, masih tiada kedudukan rasmi buat mereka.

“Ia disebabkan jika mereka mengambil alih Felda United sekalipun, status Felda United juga masih belum diluluskan.

“Jadi, saya rasakan adalah terlalu cepat untuk menggerakkan projek Rakyat United ini,” katanya seperti dilapor Astro Arena.

Difahamkan, tujuan utama Rakyat United ditubuhkan adalah untuk menggantikan pasukan Felda United yang menarik diri dari saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa mengakui ada berjumpa dengan pengurusan Rakyat United, baru-baru ini.

Ia susulan beliau menyatakan bahawa mungkin akan ada pasukan bola sepak yang mewakili Putrajaya dalam saingan Liga Malaysia musim depan.

Kata Annuar, cadangan tersebut sedang dibincang di semua peringkat termasuk dengan pengurusan Rakyat United serta menyatakan hasrat itu secara rasmi kepada FAM.

“Memang betul saya bertemu dengan pengurusan Rakyat United yang asalnya Felda United dan mereka telah dimiliki syarikat-syarikat tertentu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata masih belum ada sebarang keputusan mengenai penubuhan pasukan bola sepak itu.

“Saya hanya meninjau dan buat masa ini tiada apa-apa keputusan, kalau ada rezeki dan jodoh… harapan saya agar ada pasukan yang mewakili rakyat dan warga Putrajaya,” katanya. – Malaysiapost