Umno, PAS setuju daftar Muafakat Nasional secara rasmi

0
1

KEPIMPINAN Umno dan PAS bersetuju untuk mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kepimpinan MN telah bersepakat secara bersama untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kenyataan itu ditandatangani Setiausaha Agung 1 MN, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung II, Datuk Takiyuddin Hassan.

Ia turut memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Perunding MN semalam, ditangguhkan seiring arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur bagi menangani penularan pandemik Covid-19.

Sementara itu, Annuar menerusi ciapan di Twitter berkata kepimpinan kedua-dua parti telah mencapai kesepakatan yang penting.

“Umno dan PAS bersetuju terus berikhtiar ke arah penyatuan yang lebih luas,” katanya.

Baru-baru ini, mesyuarat Biro Politik Umno menyatakan hasrat untuk menarik diri daripada kerajaan PN jika syarat baharu yang dikemukakan mereka tidak dipertimbangkan.

Pada masa sama, Umno mahu MN didaftar segera sebagai gabungan politik yang sah. – Malaysiapost