AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tan Sri Noh Omar sedia menghadap Lembaga Disiplin Umno serta rela dipecat sekiranya prinsipnya yang lantang ‘mengkritik’ parti dianggap sebagai sabotaj.
“Saya sedia dipanggil lembaga disiplin parti dan saya lebih rela dipecat, sekiranya prinsip saya bercakap untuk parti dianggap sabotaj,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Noh juga mengesahkan beliau bersama empat pemimpin Umno Bahagian Tanjung Karang termasuk anaknya sendiri telah diberi notis panggilan untuk menghadap Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin Umno, 30 Januari ini.
Noh berkata, turut dipanggil Setiausaha Umno Bahagian Tanjung Karang, Jasman Anuar; Ketua Puteri Umno bahagian, Salbiah Saari; adik beliau yang juga Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno bahagian, Yusop Omar dan anak perempuannya Nurul Syazwani.
Katanya, semua mereka telah menerima notis sama yang dihantar Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin Umno, Datuk Mohd Hafarizam Harun menerusi kiriman aplikasi WhatsApps, minggu lalu.
Katanya, kandungan notis panggilan itu memaklumkan beliau bersama empat pemimpin Umno Bahagian Tanjung Karang telah dikaitkan dengan beberapa pertuduhan pengkhianatan parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu.
“Saya akan hadir bagi menjelaskan setiap pertuduhan dikemukakan kerana saya masih ahli MKT Umno.
“Saya bersedia untuk terima apa jua keputusan dibuat parti. Kalau hendak pecat, pecatlah. Saya tidak kisah. Tetapi kalau Umno masih hendak cari salah individu tertentu punca parti kalah PRU15, terpulanglah,” katanya.
Noh berkata demikian bagi mengulas spekulasi namanya tersenarai dipanggil Jawatankuasa Pengurusan Lembaga Disiplin Umno pada 30 Januari ini.
Selain Noh, jawatankuasa itu menerusi satu mesyuarat hari ini dikatakan turut membincangkan status keahlian bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dalam parti itu.
Sementara itu, Noh turut mempersoalkan tindakan parti menuduh beliau melakukan pengkhianatan terhadap Parlimen Tanjung Karang pada PRU15.
Katanya, ia sesuatu yang janggal kerana Umno kalah teruk dan gagal menang majoriti kerusi Parlimen di tujuh negeri ditandingi termasuk Selangor.
“Adakah pengkhianatan parti hanya berlaku di kerusi Parlimen Tanjung Karang semata-mata pada PRU lalu?Kalau Tanjung Karang sahaja yang kalah di Selangor, bolehlah nak tuduh ada pengkhianatan parti.
“Tetapi kalau dah kalah banyak sangat sampai Melaka pun ti- dak boleh menang satu kerusi walaupun PRN (Pilihan Raya Negeri) menang majoriti dua pertiga (dua tahun lalu), tidak logik- lah hendak salahkan orang lain.
“Kerusi Parlimen Bagan Datuk yang Presiden Umno sendiri bertanding pun hanya menang tipis 340 undi, adakah sebab berlaku sabotaj dalaman?
“Kalau Umno mahu ke hadapan, jangan cari jalan mudah salahkan orang lain. Sebaliknya buka lembaran baharu dengan muhasabah diri dan lupakan kekalahan lalu,” katanya.
Sementara itu, Noh mengakui beliau salah seorang daripada empat ahli MKT yang tidak bangun menyokong usul dua jawatan tertinggi Umno tidak dipertandingkan pada PAU 2022 lalu.
Katanya, keputusan itu dibuat bukan atas desakan sesiapa, tetapi tindakan dibuat atas dasar mempertahankan prinsip mendahulukan kepentingan parti, agama dan bangsa serta tidak takut bersuara demi kebenaran.
Tegas Noh, mana-mana pihak tidak sewajarnya menuduh beliau sebagai pengkhianat parti hanya disebabkan keengganannya menyokong usul tambahan diluluskan perwakilan PAU 2022 itu. – Malaysiapost

