Tindakan tarik balik semakan Batu Puteh tidak wajar – AG

0
3

KERAJAAN berpendapat tindakan untuk menarik balik kedua-dua Permohonan Semakan ke atas keputusan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dan Permintaan Tafsiran ke atas keputusan yang sama adalah tidak teratur dan tidak wajar.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berkata keputusan kerajaan itu adalah berdasarkan mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Januari lalu susulan Laporan Pasukan Petugas Khas Semakan Undang-Undang Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan (Pasukan Petugas Khas) yang dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang diputuskan pada 23 Mei 2008.

“Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji syor-syor yang dibuat oleh Pasukan Petugas Khas berkenaan termasuk isu berkaitan dengan tort misfeasans (tort of misfeasance in public office) dan akan mengambil tindakan yang perlu bagi melaksanakan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Batu Puteh adalah isu sangat penting kerana membabitkan kepentingan strategik dan kedaulatan negara.

“Dalam hal ini, kerajaan akan terus memastikan kepentingan dan kedaulatan Malaysia sentiasa dilindungi dan terpelihara,” katanya.

Pada 29 Oktober 2021, Kabinet bersetuju untuk membentuk Pasukan Petugas Khas ekoran keputusan Kerajaan Persekutuan ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad untuk tidak meneruskan permohonan semakan semula kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2018.

Ia bagi menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berhubung kes Pulau Batu Puteh.

Malah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dilaporkan bertitah bahawa keputusan sedemikian seolah-olah mengaku kalah sebelum memasuki gelanggang di mahkamah berkenaan, walaupun ada pertemuan bukti baharu yang memihak kepada Malaysia. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here