ALIRAN trafik di beberapa laluan lebuh raya menuju ibu negara dijangka sesak bermula petang ini sehingga tengah malam, berikutan cuti Tahun Baharu Cina yang berakhir hari ini.
Lokasi yang dijangka mengalami kesesakan trafik adalah pintu masuk utama ke Kuala Lumpur seperti Plaza Tol Gombak dari arah Pantai Timur, dan Plaza Tol Sungai Besi dari arah selatan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim, berkata kesesakan juga dijangka di Lebuhraya Karak-Bentong, membabitkan laluan dari arah Plaza Tol Bentong menghala Gombak.
“Ini disebabkan pertambahan kenderaan dari arah Kelantan menuju Bentong serta dari arah Lebuhraya Pantai Timur (LPT), malah kesesakan turut bakal berlaku di laluan mendaki.
“Kawasan lain adalah di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) membabitkan laluan Slim River menghala ke ibu negara dan Changkat Jering ke Ipoh disebabkan pertambahan kenderaan dan laluan mendaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mat Kasim berkata, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) juga menjangkakan kesesakan di Lebuhraya ELITE, membabitkan laluan Shah Alam-Sepang-Nilai akibat pertambahan kenderaan.
“JSPT menjangkakan sebanyak dua juta kenderaan menggunakan Lebuhraya PLUS, 150,000 kenderaan menggunakan Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 200,000 kenderaan menggunakan laluan Karak-Kuala Lumpur hari ini.
“Setakat ini berdasarkan rekod Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), sebanyak 1,181,805 kenderaan menggunakan Lebuhraya PLUS sehingga jam 12 tengah hari tadi, manakala 115,158 kenderaan menggunakan Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai memandu lebih berhati-hati dalam keadaan jalan yang licin akibat hujan lebat.
“Pastikan anda tidak menyalakan lampu kecemasan sekiranya hujan lebat dan tidak menggunakan lorong kecemasan kerana ia akan menyukarkan pasukan penyelamat melaksanakan tugas-tugas menyelamat jika diperlukan,” katanya. – Malaysiapost

