SEORANG anggota polis dilaporkan kritikal selepas dipercayai jatuh dari tingkat empat sebuah bangunan di Lumut, Perak awal pagi semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam jam 5.45 pagi memaklumkan seorang lelaki dijumpai terjatuh dari tingkat empat sebuah bangunan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa adalah seorang anggota polis berpangkat Sarjan Mejar dan bertugas dalam kontinjen Pahang.
“Sewaktu kejadian, mangsa dalam tempoh bercuti dan sepatutnya melangsungkan perkahwinannya pada 23 Januari (semalam) di kediaman keluarganya di Ayer Tawar.
“Mangsa kini dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Hospital Seri Manjung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, motif kejadian belum diketahui dan sedang disiasat oleh pihak polis dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor N. Ravinthiran di talian 019-6508489 untuk membantu siasatan.
“Polis Perak menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan maklumat-maklumat tidak sah berkenaan dengan kejadian ini,” katanya. – Malaysiapost

