Kemalangan bukan salah produksi – Noorkhiriah

0
2

PELAKON Noorkhiriah yang mengalami kecederaan akibat kemalangan ketika penggambaran, menjelaskan kejadian tersebut berlaku atas kesalahannya akibat berdegil mahu lakukan sendiri adegan tersebut.

Pemilik nama penuh Noorkhiriah Ahmad Shapie, 45, itu tidak menyalahkan pihak produksi, malah memohon mana-mana pihak agar berhenti menunding jari kepada pengurusan penggambaran susulan kemalangan kecil itu.

“Alhamdulillah, tangan saya tidak patah, cuma tisu koyak dan mengalami lebam.

“Apa yang terjadi adalah kesalahan saya, bukan produksi. Jadi, jangan kecam produksi kerana mereka sudah mengingatkan saya dan menjalankan tanggungjawab dengan sebaik mungkin,” katanya dalam hantaran di Instagram, hari ini.

Noorkhiriah berkata, kemalangan berlaku bukan disebabkan tidak mahir, sebaliknya pernah menunggang motosikal dalam drama Bedah Tong Gas, suatu ketika dahulu.

“Saya tidak mahu mengeluh kerana masih diberikan nyawa, itu paling penting. Sakit sikit-sikit. Selepas kejadian produksi menggesa saya mendapatkan rawatan susulan kerana bimbang keadaan menjadi lebih teruk.

“Sebenarnya, saya rasa seperti mahu pengsan akibat terkejut. Saya tak tahu hendak kata macam mana, tetapi Allah sudah jentik atas kedegilan saya,” katanya.

Dalam masa sama, Noorkhiriah mengucapkan terima kasih kepada peminat yang mendoakan kesembuhannya.

Semalam, Noorkhiriah terlibat dalam kemalangan kecil selepas terbabas ketika penggambaran sebuah drama.

Insiden tersebut tular selepas dia memuat naik video kemalangan itu di Instagramnya.

Bagaimanapun Noorkhiriah hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya selepas kemalangan tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here