PELAKON Azhar Sulaiman, berlapang dada dan tidak menghalang sekiranya anak perempuannya, Kasih Iris Leona ditakdirkan hidup bermadu suatu hari nanti.
Bagaimanapun, pelakon berusia 52 tahun itu menggariskan empat syarat buat bakal suami Leona sekiranya mahu menyunting anaknya sebagai suri hati.
Menerusi hantaran di Instagram (IG), Azhar berkata, perkara paling utama adalah calon suami Leona mestilah mempunyai pendidikan bertaraf ijazah.
“Nampaknya, ramai mengata anak perempuan saya akan jadi isteri nombor dualah, nombor tigalah.
“Resmi mami (gelaran Azhar) senang. Terima sesiapa saja asalkan ada ‘degree’ (ijazah) dalam pelajaran,” tulisnya.
Selain itu, Azhar yang terkenal dengan gelaran ‘bapa cool’ itu menegaskan calon suami anaknya itu mestilah sentiasa hormat dan menjaga maruah keluarga sekiranya sudah berkahwin dengan wanita lain sebelum anaknya.
“Bijak menguruskan hubungan dengan berhemah dan jangan sampai kecoh satu Malaysia. Akur ajal jodoh di tangan Allah SWT,” katanya.
Menerusi ruangan komen, pelakon filem Black Maria itu mendedahkan Leona lebih suka memilih lelaki berketurunan Cina.
“Anak saya suka lelaki Cina. Saya rasa merekalah yang penat nak bimbing kalau terjadi kahwin nanti,” katanya. – Malaysiapost

