JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memeriksa 77 depoh dan 25 terminal bas di seluruh negara dalam Ops Bersepadu dan Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baru Cina yang dilancarkan bermula 18 hingga 25 Januari ini.
Timbalan Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata ia bertujuan memastikan bas ekspres berada dalam keadaan teknikal yang baik di samping pemandunya bebas pengaruh dadah.
Pada masa sama, Aedy Fadly menegaskan, JPJ akan melakukan kaedah penyamaran bagi memastikan tiada kesalahan dilakukan pemandu bas ekspres.
“Kesalahan sering dilakukan pemandu bas antaranya menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memotong garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang keledar dan memandu di lorong kecemasan,” katanya pada sidang media di Terminal Bas Selatan, Kuala Lumpur, hari ini
Sementara itu Aedy Fadly menyeru pengguna jalan raya untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat pemandu jalan raya yang melanggar peraturan lalu lintas sepanjang Ops Bersepadu ini. – Malaysiapost

