BERIKUTAN tidak mendapat sambutan, Kementerian Pengangkutan membuat keputusan menghentikan sementara perkhidmatan SkyPark Link menghubungkan Stesen KL Sentral dan Lapangan Terbang Subang, bermula 15 Februari ini.
Menterinya, Anthony Loke berkata, laluan berkenaan kurang mendapat permintaan meskipun kerajaan sudah membelanjakan subsidi RM15 juta bagi memberi tiket murah kepada orang ramai.
Namun, beliau berkata, tempoh akhir penangguhan itu masih belum dimuktamadkan dan tidak menolak disambung semula sekiranya laluan itu mula mendapat permintaan dan potensi tinggi.
“Laluan SkyPark Link diadakan sejak 2018 iaitu pada tahun pertama saya menjadi Menteri Pengangkutan dan kita membelanjakan RM15 juta setiap setahun untuk memastikan ia berfungsi. Kita juga menurunkan harga tambang, tetapi ia tidak mendapat sambutan.
“Malah hasil kajian yang dilakukan, hanya purata 80 penumpang sahaja menggunakan perkhidmatan itu setiap hari. Kita memberikan subsidi berterusan sehingga kini, tetapi ia masih kurang memuaskan sehingga adakalanya tren berjalan kosong tanpa penumpang,” katanya.
Beliau berkata kepada media selepas menyantuni penumpang perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Stesen KL Sentral, sempena sambutan perayaan Tahun Baru Cina.
Justeru, Anthony berkata, empat tren yang digunakan di laluan SkyPark Link akan dipindahkan untuk kegunaan semasa dengan dua daripadanya dihantar ke laluan utara, manakala baki dua lagi tren digunakan untuk perkhidmatan komuter Lembah Klang.
Katanya, langkah ini dapat menjimatkan RM15 juta setahun dan Kementerian Pengangkutan akan menggunakan peruntukan itu untuk inisiatif lain termasuk kemampuan untuk menawarkan perkhidmatan percuma kepada pelajar sekolah yang menggunakan kereta api seperti di laluan Dabong-Kuala Gris. –Malaysiapost

