Ahli Parlimen Pasir Gudang berpuisi jawab kritikan Shabery Cheek

0
2

AHLI Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim hari ini membalas kenyataan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, menerusi sebuah puisi di media sosial.

Walaupun tidak menamakan mana-mana individu, namun puisi berkenaan dipercayai ditujukan kepada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu berhubung hubungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)-Umno dalam Kerajaan Perpaduan.

Menerusi puisi itu, Hassan meminta Ahmad Shabery mengunci mulut dan jangan mengeruhkan kestabilan kerjasama antara PH dan Umno yang baru bermula.

Beliau juga mengingatkan Ahmad Shabery bahawa jambatan (penghubung) Umno begitu rapuh disebabkan pemimpin-pemimpin parti itu terpalit dengan kes rasuah dan perbicaraan di mahkamah.

“Membisulah kamu sebaiknya saudara. Jangan bising-bising lagi. Nanti karam perahu ini. Nanti tercabut skrew-skrew. Jambatan bailey ini,” ini antara amaran yang ditujukan kepada Hassan buat Ahmad Shabery.

Puisi tersebut berhubung kait dengan dakwaan Ahmad Shabery bahawa virus yang menyerang dan menjatuhkan kerajaan PH ketika memerintah selama 22 bulan pada 2018 ialah suka mengata antara sendiri secara terbuka.

Malah, Ahmad Shabery berkata bagi memdapatkan kembali kestabilan ekonomi seperti tahun 2018, PH perlu bekerjasama dengan gabungan parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

“Jambatan segera pakai besi. Banyak sekeru. Kalau tercabut, cepatlah runtuh. Nak buat yang konkrit makan masa,” katanya dalam hantaran Facebook, semalam.

Sebelum ini, Hassan dilapor menyifatkan BN dan Umno yang terdiri daripada kelompok kes jenayah rasuah dan pecah amanah sebagai virus.

Hassan berkata, virus berkenaan sedang menjangkiti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, PKR dan PH.

Beliau juga bersimpati terhadap Anwar kerana Perdana Menteri itu ketika ini berada dalam dilema berikutan melantik Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan beliau.

Ia kerana, katanya, Ahmad Zahid sedang dibicarakan di mahkamah atas berpuluh tuduhan jenayah rasuah dan pecah amanah sekali gus mencemarkan imej Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here