SEBUAH kondominium di Mont Kiara, kereta Volkswagen New Beetle dan Audi serta wang tunai RM22,600 milik bekas peguam syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diburu pihak berkuasa, Jasmine Loo Ai Swan diserahkan kepada bank dan Kerajaan Malaysia.
Ai Swan dikatakan salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki selepas melarikan diri dan tidak diketahui lokasi keberadaan hingga kini.
Dalam prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memerintahkan hartanah itu dilucut hak kepada OCBC Bank (M) Bhd selaku pihak ketiga berkepentingan terhadap harta terbabit manakala dua kenderaan serta wang tunai kepada kerajaan, lapor Berita Harian.
Hakim membuat perintah berkenaan selepas membenarkan permohonan kerajaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Noor Zalizan Lazarous dan peguam Lim Jun Yik bagi pihak OCBC (pihak ketiga).
“Selepas meneliti afidavit dan hujahan kedua-dua pihak saya memutuskan permohonan pihak ketiga untuk mendapatkan harta tak alih (kondominium) milik responden (Ai Swan) yang disita pada 15 Februari 2021 dengan ini dibenarkan.
“Permohonan pendakwaan melucut hak tiga lagi harta iaitu sebuah kenderaan Audi dan Volkswagen New Beetle yang disita pada 27 Januari 2021 serta wang berjumlah RM22,600 dalam akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik responden juga dibenarkan,” katanya.
Permohonan bagi pelucutan hak harta itu difailkan kerajaan pada November 2021 mengikut Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Susulan itu, permohonan dibuat mengikut Seksyen 61 (2) pada Julai tahun lalu untuk mewartakan notis bagi memanggil pihak ketiga yang berkepentingan hadir di mahkamah dan menuntut harta berkenaan.
Pada 4 Disember 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low; Ai Swan; bekas Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee; bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng; dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.
Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB. – Malaysiapost

