MALAYSIA dan Korea Selatan komited untuk meneruskan hubungan baik dan meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Korea Selatan kini menjadi antara rakan dagang utama Malaysia, selain pelaburan RM32.9 bilion sehingga Jun 2022.
“Semasa pertemuan saya dengan Menteri Perdagangan Republik Korea, Dukgeun Ahn, kami komited untuk meneruskan hubungan baik Malaysia-Korea dan meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara,” katanya menerusi Facebook.
Tengku Zafrul berkata, pada 2021, jumlah perdagangan Malaysia dengan Republik Korea meningkat 9.3 peratus kepada RM88.31 bilion (USD21.30 bilion) daripada RM80.83 bilion (USD19.17 bilion) pada 2020.
“Sehingga Jun 2022, Republik Korea telah melabur sebanyak RM32.9 bilion (USD9.2 bilion) dan mewujudkan sebanyak 46,260 pekerjaan di Malaysia.
“Bila bercakap tentang Korea, perkara pertama yang terbayang biasanya K-Pop. Tapi sebenarnya Korea juga antara rakan dagang utama Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

