Keputusan MB membelakangi semangat setiakawan – Umno Perak

0
3
IPOH 27 NOVEMBER 2018. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan. NSTP/MUHAIZAN YAHYA

Nilam Oshman

UMNO Perak mendakwa keputusan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung pelantikan Setiausaha Politiknya membelakangi parti lain serta tidak menghargai semangat setiakawan.

Ia berikutan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar didakwa dibuat tanpa perbincangan dan musyawarah antara Bersatu dengan Umno serta PAS.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Saarani Mohamad berkata pelantikan itu dibuat tanpa semangat musyawarah berpasukan, kerjasama dan perjanjian yang dipersetujui bersama dan telah ditandatangani.

“Saya mendengar penjelasan YAB Menteri Besar kepada soalan pemberita baru-baru ini berkaitan pelantikan Adun Pengkalan Hulu sebagai Setiausaha Politik beliau.

“Meskipun saya cuba mengelak membuat kenyataan terbuka apabila YAB Menteri Besar melantik seorang ahli YB dari Umno, tetapi beliau sendiri secara terbuka menyatakan tidak perlu mendapat kebenaran Umno.

“Perlu saya jelaskan ketika persetujuan membentuk kerajaan, ketiga-ketiga pihak iaitu, Ppbm (Bersatu), Umno dan PAS telah membuat persetujuan bertulis.

“Ini untuk saling menghormati dalam urusan pelantikan setiap wakil sama ada sebagai ahli majlis mesyuarat (Exco), ahli lembaga pengarah syarikat berkaitan kerajaan dan lantikan politik yang lain,” katanya menerusi kenyataan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak itu berkata, sewajarnya pelantikan mana-mana Adun atau pemimpin Umno dalam kerajaan hendaklah dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat setiakawan dan prinsip hormat menghormati.

Beliau juga mengingatkan kerajaan Perak dibentuk atas semangat setiakawan serta persefahaman bagi memastikan Perak terpelihara daripada ancaman “politik yang tidak sihat”.

“Tanpa semangat setiakawan kestabilan politik negeri ini akan terancam. Bagaimanapun, nampaknya persefahaman serta perjanjian ketika pembentukan Kerajaan Negeri Perikatan Nasional sudah tidak dihormati.

“Hakikatnya, ia sudah berkali-kali dilanggari. Sebelum ini pun, ada cubaan mengubah senarai nama Exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Beliau turut menegaskan, Umno dan BN Perak tidak tamak kuasa seperti yang didendangkan setiap kali mereka bersuara.

“Hakikatnya, kami mempunyai 25 Adun, jumlah paling besar di dalam DUN. Namun atas ketaatan dan semangat tolak ansur, kami tidak menarik sokongan apabila jawatan Menteri Besar diberikan kepada Bersatu,” katanya. – Malaysiapost