Duduk rumah pun boleh positif Covid-19

0
2

CARA penularan pandemik Covid-19 ini sangat pelik, demikian kata suami kepada seorang pesakit Covid-19 di Tawau, Sabah.

Lelaki itu memberitahu Malaysiapost, ini kerana isterinya disahkan positif wabak itu kelmarin, walaupun hanya duduk di rumah menjaga anak-anak sejak tiga minggu lalu.

Menurutnya yang enggan namanya disiarkan, sepanjang tempoh itu hanya dia yang keluar bekerja dan membeli barangan keperluan dengan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP).

“Saya berasa amat pelik bagaimana virus ini merebak sehingga isteri saya disahkan positif Covid-19 kelmarin.

“Sedangkan saya yang keluar rumah tidak dijangkiti Covid-19, malah anak-anak serta ibu dan bapa mentua yang tinggal serumah juga negatif,” katanya yang kini menjalani kuarantin di rumah bersama keluarga.

Isterinya kini ditempatkan di Institut Latihan KKM di Tawau untuk rawatan bagi pesakit tidak bergejala.

Lelaki itu berkata, isterinya memberitahu ada beberapa kes sama di ILKKM Tawau, iaitu mendapat jangkitan walau tidak keluar rumah dan ahli keluarga lain negatif.

Bercerita lanjut, katanya, kali terakhir isterinya keluar rumah pada 26 September ketika hari pengundian Pilihan Raya Negeri apabila terlibat dalam tugasan Ops Payung.

“Sejak itu, isteri saya yang bertugas sebagai penjawat awam di bandar Tawau hanya bekerja dari rumah memandangkan kerajaan telah menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah itu.

“Dia tidak bergejala dan dikesan positif Covid-19 menerusi saringan bersasar yang dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah pada 8 Oktober lalu.

“Apa yang membingungkan saya bagaimana isteri dijangkiti dan kenapa pula kami sekeluarga yang lain disahkan negatif sedangkan tinggal serumah,” katanya.

Tawau antara daerah di Sabah yang merekodkan kes tertinggi Covid-19 sejak 14 hari lalu iaitu 617. – Malaysiapost