Ubah segera persepsi rakyat terhadap ahli politik – Salleh Said Keruak

0
2

PERSEPSI rakyat yang kini menganggap ahli politik sebagai tamak dan hanya pentingkan diri perlu diubah segera, kata bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Usukan itu berkata ahli politik perlu sedar mereka kini semakin tidak disukai oleh ramai rakyat yang lesu dan muak dengan kemelut politik tiada penghujungnya.

Menurut beliau, rakyat sedar bahawa ahli politik di Malaysia berpolitik 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun.

“Rakyat juga semakin penat melihat gelagat ahli-ahli politik yang hanya memberi tumpuan kepada politik semata-mata sehinggakan tiada masa untuk berkhidmat untuk mereka,” katanya menerusi catatan di laman blognya sallehsaid.com.

Salleh berkata, persepsi memang penting, namun, persepsi yang dicipta hari ini sangat tidak baik.

Beliau berkata, ahli dan aktivis politik amat gemar melaungkan slogan ‘rakyat adalah boss’, namun sebaik menggenggam kuasa, mereka seakan lupa siapa sebenarnya ‘boss’.

“Bak kata penjawat-penjawat awam, ahli-ahli politik datang dan pergi, tetapi rakyat tetap di sini sampai bila-bila pun,” katanya.

Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia itu juga berkata, hakikat bahawa era majoriti dua pertiga, atau majoriti mudah di Parlimen oleh hanya satu parti sudah berakhir.

“Kini, gabungan-gabungan empat atau lima parti pun hanya mampu menang dengan majoriti yang tipis, atau berjaya membentuk kerajaan dalam Parlimen yang hampir tergantung,” katanya.

Salleh juga mengingatkan ahli politik mencari titik persamaan yang membolehkan mereka bekerjasama dan sebaik sahaja tamat pilihan raya, semua pihak perlu segera bekerja demi negara dan rakyat.

Beliau berkata, monopoli dan hegemoni sudah tidak lagi wujud.

“Yang wujud hari ini adalah perkongsian kuasa. Mereka yang menang, dan mereka yang kalah perlu duduk semeja untuk memikirkan apakah yang terbaik untuk negara.

“Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu meneroka dan mempertimbangkan sedikit konsesi dan tolak ansur,” katanya. – Malaysiapost