BEKAS Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menasihati kerajaan Sarawak supaya jangan mengulangi kesilapan bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Ini selepas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dilaporkan berkata akan tetap mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) ketika kes Covid-19 dalam negara terus melonjak.
Sebelum ini, Mohd Shafie membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada PRN yang bukan sahaja menyebabkan kes Covid-19 di negeri itu tidak terkawal, malah kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) tumbang.
Anifah yang juga Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) berkata sudah tentu Perlembagaan Sarawak berdaulat dan luhur, di mana PRN harus diadakan 60 hari sebelum Jun 2021, iaitu tujuh bulan dari sekarang.
“Namun, keadaan Covid masih membimbangkan. Justeru, nasihat saya adalah simple (mudah).
“Brother Jo (Abang Johari), don’t repeat the same mistake committed by Brother Shafie (jangan ulangi kesilapan sama oleh Shafie).
“Dari sahabat ke sahabat, kita ketepikan politik dan fokus kepada kebajikan dan kesihatan anak-anak Borneo kita.
“Jikalau tidak diperlukan, tangguhkan PRN sehingga selama yang boleh, ataupun sampailah keadaan Covid adalah terkawal dengan jayanya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Anifah berkata, kempen di kawasan pendalaman sukar dikawal dan penularan Covid-19 secara meluas di Sabah telah mendatangkan kesan politik buruk terhadap Mohd Shafie yang membubarkan DUN.
“Sekali lagi, Ini adalah nasihat tanpa niat untuk campur tangan,” katanya.
Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada 871 kes baharu di negara ini, 702 kes dicatat di Sabah dengan 49 kes dari Kluster Kepayan. – Malaysiapost

