VETERAN Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad, berpendapat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin mempunyai peluang untuk mengembalikan ekonomi negara kepada kekuatan asalnya.
Beliau yang pernah menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata keadaan itu boleh berlaku kerana tiadanya Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan dan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.
Menurutnya, Ringgit Malaysia (RM) kini sedang mengukuh (4.3785) tapi masih jauh dari nilainya berbanding dollar Amerika Syarikat (USD) pada Mei 2018 (3.9480).
“Tempoh pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak menambah baik keadaan ekonomi negara. Kalau nak katakan kerana Covid-19, satu dunia juga mengalami pandemik.
“Sekarang Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan PH juga, dan berkuasa khususnya dari segi ekonomi dan kewangan negara.
“Tanpa Lim Guan Eng memegang jawatan Kementerian Kewangan dan pemikiran ekonomi neo-liberal Tun Mahathir, Perdana Menteri ke-10 mungkin ada peluang untuk mengembalikan ekonomi negara balik semula kepada kekuatan asalnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Shahrir menggesa agar diteliti dan dikaji secara ikhlas segala transformasi ekonomi yang telah dilakukan sebelum PRU-14 dan perkenalkan semula beserta tambah baik yang munasabah.
“Akuilah negara telah tertinggal di belakang. Bukan kerana ‘rasuah dan salah urus tadbir’ tetapi kerana sedia memfitnah demi kuasa,” katanya. – Malaysiapost

