2 penerbangan ihsan selamatkan ibu mengandung

0
2

SEORANG wanita mengandung terpaksa diterbangkan menggunakan helikopter dari Klinik Kesihatan Kampung Tekek Pulau Tioman ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, malam tadi selepas menunjukkan tanda-tanda untuk bersalin pra matang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus, berkata penerbangan ihsan itu berjaya dilaksanakan dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

“Pesakit adalah seorang wanita mengandung berusia 22 tahun pada usia kandungan 32 minggu tetapi telah menunjukkan tanda-tanda untuk bersalin pra matang.

“Pesakit ini tidak dapat dihantar dengan bot ambulans kerana laut bergelora pada masa ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook, hari ini.

Beliau berkata, pesakit berkenaan diterbangkan pada jam 8.30 malam tadi bersama seorang pegawai perubatan dan seorang jururawat dan selamat tiba di Pangkalan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Batu 10, Kuantan jam 9.10 malam.

“Wanita berkenaan kemudian terus dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Setakat pagi ini, pesakit masih dalam perawatan untuk mengelakkan proses kelahiran pra matang.

“Ribuan terima kasih kepada Maritim Malaysia dan TUDM di atas kerjasama strategik ini dan sentiasa membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam penyampaian perkhidmatan kepada pesakit.

“Tidak lupa Jabatan Kecemasan HTAA yang membuat koordinasi tentang perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Dr Nor Azimi berkata penerbangan ihsan itu adalah yang kedua di Pahang dalam tempoh seminggu ini.

Menurutnya, satu lagi penerbangan adalah pada 4 Januari lalu membabitkan wanita yang akan bersalin dari Kampung Orang Asli Chenan Cherah (lama), Pos Lemoi, Cameron Highlands sekitar jam 12.15 tengah hari.

“Pesakit merupakan primigravida dan sangat berisiko untuk dibawa keluar dari kampung tersebut melalui jalan darat.

“Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama pasukan Penerbangan Ehsan telah tiba di Kampung Chenan Cherah (lama) sekitar jam 3.50 petang dan membawa keluar pesakit ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata.

“Ibu telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki dengan berat 2.55 kilogram. Alhamdulillah, kedua-dua ibu dan bayi dalam keadaan sihat dan stabil,” katanya.

Menurutnya, JKN Pahang akan sentiasa bersedia dan komited dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada komuniti terutama masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Terpinggir bukan bermakna tercicir,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here