TAMAN awam di sekitar Wilayah Persekutuan (WP) akan dibuka semula dalam tempoh terdekat ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata susulan perbincangan bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM), pihaknya memutuskan supaya taman awam di Wilayah Persekutuan dibenarkan dibuka.
Annuar berkata, ia bagaimanapun perlu disertai kawalan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“SOP PKPB membenarkan aktiviti bersukan tertentu. Padang golf dibuka. Gimnasium dibuka. Tetapi taman awam ditutup.
“Susulan konsultasi dengan MKN dan KKM, JKKN (Jawatankuasa Kerja Keselamatan) WP memutuskan taman awam di WP boleh dibuka dengan syarat ada kawalan pematuhan SOP,” katanya menerusi Twitter.
Beliau berkata, perkara itu diputuskan demi memberi peluang kepada warga Wilayah Persekutuan melakukan aktiviti riadah tertakluk kepada yang dibenarkan saja.
Annuar berkata demikian susulan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam mengumumkan aktiviti seperti gimnasium, padang bola sepak komersial dan pusat futsal dalam kawasan PKPB akan dibenarkan beroperasi semula mulai esok dengan SOP ketat. – Malaysiapost

