Muhammad Mustakim Ramli
KERAJAAN meminta majikan membenarkan kakitangan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya supaya bekerja di rumah.
Ia susulan tiga kluster baharu Covid-19 di Lembah Klang membabitkan pekerja yang dijangkiti di tempat kerja, semalam.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata walaupun setakat ini kerajaan masih membenarkan pergerakan pekerja ke tempat kerja tetapi pihaknya juga memohon majikan membenarkan bekerja dari rumah.
“Apabila berlaku kes seperti ini, saya akan bawa ke mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri untuk dibuat keputusan.
“Sama ada apa tindakan seterusnya bagi pekerja yang terus bekerja di pejabat… terus dibenar bekerja atau tidak. Kita serahkannya dalam perbincangan mesyuarat khas nanti.
“Sebelum apa-apa keputusan, saya minta majikan benarkan pekerja bekerja dari rumah,” katanya hari ini.
Semalam, Kementerian Kesihatan mengesan lima lagi kluster baharu Covid-19 yang sudah menjangkiti sejumlah 87 individu, di mana tiga darinya adalah di Lembah Klang.
Kluster berkenaan adalah Kluster Menara membabitkan daerah Gombak, Petaling, Klang, Sepang dan Hulu Langat di Selangor; Lembah Pantai, Titiwangsa dan Cheras di Kuala Lumpur; Larut, Matang dan Selama di Perak; serta Putrajaya.
Kluster Keladi pula dikesan di Klang dan Kluster Sentral pula dikesan di Kepong, Cheras dan Titiwangsa di Kuala Lumpur. – Malaysiapost

