UMNO tidak akan meminda perlembagaan parti bagi membolehkan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan tahun ini.
Ketua Penerangannya, Isham Jalil, berkata perlembagaan Umno menetapkan jawatan presiden dan timbalan presiden perlu dipertandingkan dalam pemilihan.
Katanya, beliau juga sedar ada pemimpin Umno tidak mahu dua jawatan itu dipertandingkan bagi menjaga keutuhan parti serta mengelak perpecahan.
“Mengikut perlembagaan Umno, kita tak boleh halang mana-mana individu bertanding, kalau ada usul (jawatan presiden, timbalan presiden tidak dipertandingkan) sekali pun kalau tak boleh, Ia perlu kepada pindaan perlembagaan.
“Tidak ada apa-apa perbincangan untuk pinda perlembagaan bagi jawatan presiden, timbalan presiden tak dipertandingkan
“Kalau tak ada orang nak bertanding, ‘top two’ (presiden dan timbalan presiden) tak dipertandingkan,” katanya ketika sesi bertemu media di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur, hari ini.
Terdahulu hari ini, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau terbuka untuk dicabar sesiapa sahaja yang berhasrat memegang jawatan nombor satu parti pada pemilihan akan datang.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ia bagi memberi peluang kepada kira-kira 160,000 perwakilan untuk memilih pucuk pimpinan khususnya bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.
Ahmad Zahid juga berkata terserah kepada perwakilan Umno untuk membuat pilihan sekali gus menentukan hala tuju parti bagi memastikan Umno kekal relevan.
Sementara itu Isham berkata, ada pemimpin Umno tidak mahu dua jawatan tersebut dipertandingkan kerana terdapat pihak luar ingin merosakkan keharmonian dalam Umno.
“Yang bawa cerita ini (pemilihan) bukan kita (Umno), orang yang bawa cerita orang Perikatan Nasional (PN) yang nak kita bertelagah.
“Saya pergi (jumpa pemimpin) negeri ada usul yang tak mahu supaya jawatan presiden, timbalan presiden tak dipertandingkan,” katanya. – Malaysiapost

