Laporan awal tragedi Batang Kali dibentang ke Kabinet semalam

0
1

LAPORAN awal tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali sudah dibentangkan ke Kabinet semalam.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, laporan berkenaan disediakan kementeriannya melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Tanpa mendedahkan inti pati laporan itu, beliau berkata, ia juga sudah dibaca oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

“Sebarang maklum balas dan tindakan seterusnya akan dilaksanakan selepas laporan penuh (tragedi itu) siap dalam tempoh terdekat,” katanya hari ini.

Sebelum ini, Nik Nazmi dipetik berkata laporan penuh akan dibentangkan ke Kabinet dan NRECC akan mengambil pendekatan holistik meliputi aspek undang-undang dan struktur pembangunan supaya insiden sama tidak berulang.

Seramai 31 terkorban dalam tragedi tanah runtuh yang berlaku di tapak perkhemahan di Batang Kali pada jam 2.30 pagi, 16 Disember lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here