DBKL akan ‘sekolahkan’ kontraktor turap jalan

0
2

KERJA penurapan jalan yang dilakukan ketika waktu puncak sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas di Jalan Travers, Bangsar, tular di media sosial, hari ini.

Sehubungan itu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi hantaran di Facebook, tampil memberi penjelasan situasi tersebut berlaku disebabkan kontraktor yang dilantik tidak mengikut waktu kerja yang ditetapkan pihak berkuasa.

Bertindak atas aduan ramai, DBKL memaklumkan akan memanggil kontraktor tersebut untuk ‘disekolahkan’ kerana tidak mengikuti undang-undang sekali gus menimbulkan kesulitan kepada pengguna jalan raya.

“Tahu la mahu cepat.. tapi waktu bekerja langsung tidak fikir orang lain walaupun sudah dimaklumkan waktu kerja yang sepatutnya,

“Jadi jangan ingat anda sahaja yang marah, orang DBKL pun marah juga, pasti kontraktor yang terlibat kena panggil dengan pegawai DBKL yang berkenaan, kena ‘sekolahkan’ sikit,” kata DBKL dalam hantaran itu.

Dalam masa sama, DBKL turut memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi pengguna jalan raya akibat situasi tersebut.

Terdahulu, tular video berdurasi 30 saat memaparkan situasi kesesakan lalu lintas di sebuah jalan raya berpunca daripada kerja penurapan jalan.

Perakam video tersebut juga mempersoalkan waktu kerja penurapan itu yang dilakukan ketika waktu sibuk sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here