Pasangan kekasih dituduh bunuh budak 4 tahun, kakak dituduh dera

0
1
grafik

SEPASANG kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Izwan Mahmood, 25, dan gadis berusia 16 tahun itu membunuh kanak-kanak berkenaan antara jam 8 pagi sehingga 2 petang di Felda Semenchu Teluk Sengat Kota Tinggi, antara 10 sehingga 23 Disember tahun lalu.

Mereka melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Akta yang sama, lapor Harian Metro.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dan tiada sebarang rekod pengakuan diambil.

Majistret Nurasidah A Rahman menetapkan 22 Februari ini untuk sebutan semula kes.

Di mahkamah sama, kakak kandung kanak-kanak itu, Nurul Natashah Danial @ Zainal, 20, tidak mengaku bersalah atas tuduhan mendera adiknya di Jalan Kampung Sri Pantai, Senggarang sekitar November sehingga Disember tahun lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, sebagai orang yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak lelaki itu, tertuduh menganiaya dengan menyebabkan kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan lebih kurang jam 10 pagi sehingga 10 malam pada tempoh berkenaan.

Tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Hayatul Wirdah Mohd Yunos tidak menawarkan sebarang jaminan untuk tertuduh.

Tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Dalam pada itu, Majistret Nurasidah A Rahman menetapkan tarikh 12 Januari ini supaya permohonan jaminan didengar di Mahkamah Sesyen Batu Pahat.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa dera di Senggarang, Batu Pahat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here