Nurul Huda Abhar
NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Umno mempunyai banyak pilihan untuk menentukan nasib kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, Umno juga boleh menentukan jatuh bangun kerajaan PN, sama ada mengukuhkan atau mengambil keputusan untuk menumbangkannya.
Malah, katanya, Umno juga boleh bertindak bagi mempercepatkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Tetapi itu adalah pilihan terakhir Umno kerana kedudukan pandemik yang melanda negara.
“Umno tidak akan memperjudikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan umum demi suatu pilihan raya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, keutamaan parti itu adalah membentuk kerajaan yang benar-benar boleh menguruskan negara yang berada dalam krisis.
Oleh demikian, katanya, Umno mahu ia dihormati sebagai rakan sebenar dalam kerjasama politik dan bukannya sekadar penyeri kepada PN.
Tambahnya, kini semua pilihan di tangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat keputusan.
“Beliau (Muhyiddin) memahami apa yang Umno kehendaki dan beliau juga tahu apa yang Umno mampu lakukan.
“Keutamaan Umno ialah kepentingan terbaik Malaysia dan jika itu juga keutamaan Perdana Menteri, beliau sewajarnya melakukan sesuatu dengan segera untuk merungkai kegelisahan yang Umno suarakan.
“Umno akan sentiasa menyokong keputusan yang baik. Jadi, pamerkanlah kepimpinan ikhlas, yang boleh menukarkan ‘mutual respect’ menjadi ‘trust’ yang sebenar,” katanya.
Umno sebelum ini menyatakan akan mempertimbang untuk menarik diri dari menyokong PN dan akan memberikan syarat baharu kepada kerajaan PN bagi meneruskan kerjasama politik, secara perjanjian bertulis untuk dilaksanakan secepat mungkin. – Malaysiapost
Foto Kredit: Awani

