Wanita Umno senada keputusan ‘no DAP’

0
2

WANITA Umno Malaysia komited dan teguh dengan keputusan parti iaitu tegas senada bersama keputusan mesyuarat Ahli Majlis Kerja Tertinggi yang bersetuju agar ‘no DAP’.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata Umno tidak akan ada kerjasama dengan sesiapa yang ada hubungan dengan DAP, sebaliknya akan terus memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN).

“Wanita Umno juga yakin dan percaya dengan kebijaksanaan pucuk pimpinan dalam membawa hala tuju parti demi kepentingan rakyat, sesuai dengan status parti keramat di negara ini.

“Justeru, Wanita Umno berharap semua ahli parti khususnya Wanita Umno supaya tenang dan tidak membuat sebarang andaian yang boleh menjejaskan keharmonian di dalam parti,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata kepimpinan parti itu tetap berpegang dengan pendirian menolak sebarang kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sekutunya, DAP.

“Saya selaku Setiausaha Agung Umno, juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetap berpegang teguh kepada pendirian keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno sebelum ini iaitu kukuhkan Barisan Nasional (BN) dan mantapkan Muafakat Nasional (MN).

“Tiada DAP! Tiada hubungan dengan pimpinan yang bersepakat dengan DAP seperti Anwar, Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya. – Malaysiapost