KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan kembali mengadakan sidang media di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) petang ini, selepas tamat kuarantin kendiri di rumahnya.
Menurutnya, beliau akan kembali bertugas di pejabat KKM dan sidang media berhubung Covid-19 akan mula diadakan di KKM hari ini.
Ini berdasarkan keputusan ujian saringan Covid-19 yang dilakukannya didapati negatif.
Dr Noor Hisham sebelum ini menjalani kuarantin kendiri di rumahnya selepas hadir mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang turut dihadiri individu positif Covid-19.
Susulan itu, beliau mengadakan sidang media KKM berkaitan Covid-19 di rumahnya sejak 6 Oktober lalu dan disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook KKM.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memaklumkan tempoh kuarantin kendiri dijalaninya berakhir hari ini. – Malaysiapost

