KETUA Pentadbir Parlimen Malaysia diminta mengkaji semula pemilihan agensi media bagi membuat persidangan Dewan Rakyat dan pembentangan Belanjawan 2021, bulan depan.
Sebelum ini hanya 15 agensi media dibenar membuat liputan sepanjang mesyuarat itu.
Kesatuan Wartawan Semenanjung Malaysia (NUJM) berpendapat ia perlu dikaji semula bagi membolehkan lebih banyak agensi media terutama portal online tempatan membuat liputan.
Presiden NUJM, Farah Marshita Abdul Patah berkata berpegang kepada prinsip kebebasan media dan kerajaan yang telus, agensi portal tempatan harus diberi suara dan hak sama dalam membuat liputan terutama isu kepentingan negara.
“NUJM ingin menekankan bahawa sudah sampai masanya agensi media tidak didorong haluan oleh kerajaan kerana tindakan itu akan membuat masyarakat berasa media masih dikawal dan berada telunjuk kerajaan mahupun parti politik.
“Pemilihan media bagi sebarang liputan rasmi haruslah seimbang dan sama rata, supaya tidak ada merasa dipinggirkan atau kebebasan media untuk menjalankan tugas disekat.
“NUJM yakin sekiranya ruang yang luas dan teratur disediakan untuk petugas media, maka, SOP keselamatan dan prosedur penjarakan sosial akan dapat dipatuhi serta diamalkan pada setiap masa,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Farah Marshita berkata petugas media juga adalah petugas barisan hadapan dan tugasnya adalah melaporkan setiap perkara yang berlaku dalam negara.
Kelmarin, Pentadbir Parlimen Malaysia menerusi kenyataan memaklumkan hanya 15 organisasi media dibenarkan membuat liputan persidangan Dewan Rakyat yang bermula pada 2 November ini.
Ia dengan alasan untuk mengekang penularan Covid-19 dan memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak berkuasa.
Semua organisasi media yang diluluskan hanya dibenar menghantar seorang wartawan dan seorang jurugambar atau juruvideo. – Malaysiapost

