Mujahid ajak Umno bersama Anwar, buang ‘sial’ Langkah Sheraton

0
2

NAIB Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengajak Umno bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuang ‘sial’ Langkah Sheraton dengan membentuk kerajaan baharu.

‘Langkah Sheraton’ merujuk perhimpunan 10 Ahli Parlimen yang meninggalkan PKR untuk bergabung dengan Bersatu, Barisan Nasional (BN), PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, Februari lalu, untuk mengambil alih kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) menggunakan nama Perikatan Nasional (PN).

Mujahid menerusi catatan di Facebooknya berkata Umno perlu sedar bahawa demi survival politiknya, ia perlu bangkit dalam keadaan bermaruah dan tidak diperbudakkan oleh Bersatu, seperti mula disedari kepemimpinan parti itu sekarang.

Katanya, tapak Umno masih kukuh dan mereka ada masa kembali berpencak di medan demokrasi untuk membetulkan keadaan.

“Tidak masuk akal untuk kekal disumpah ‘sial sheraton’ sedangkan DSAI (Anwar) berusaha keras membuangnya. Negara memerlukan MP-MP (Ahli Parlimen) untuk membentuk satu majoriti yang lebih kukuh dan kerajaan stabil dengan sokongan rentas kepartian.

“Hanya ego Umno sahaja yang menghalang mereka keluar dari sumpahan kerajaan penyogok PN. Ego terbesar Umno setakat ini ialah ‘tiada DAP’ walaupun Umno tahu tulahan sheraton lebih memudaratkannya dan berpotensi merosakkan negara.

“Apalah ego itu jika dibandingkan survival Umno yang semakin hari didesak oleh kepimpinan dan akar umbi untuk tinggalkan kerajaan PN,” katanya.

Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menambah, Umno ada ego politiknya, antara lain ego BNnya dan ego MNnya dan ego ‘No DAP’.

“Kerumitan ini adalah cabaran besar langkah DSAI untuk mengangkat ‘sumpahan sheraton’ dari batang tubuh Umno yang kini berkecamuk.

“Pada pandangan saya, super ego Umno perlu diletakkan pada landasan yang menguntungkan semua pihak.

“Ya… memang sukar berkrompomi dengan super ego kita kerana akan dianggap tidak berprinsip tetapi jangan pula menutup pintu rundingan kerana ia cara terbaik mencari ruang-ruang supaya prinsip diimbangi dengan keperluan lebih besar di luar parti kita,” katanya.

Pada masa sama, Muhajid berkata, DAP juga tidak mudah menerima Umno dan mereka juga ada ego politiknya, tetapi sikap awal DAP ialah menyokong langkah Anwar demi memenuhi keperluan lebih besar untuk ‘rebooting’ keadaan politik nasional.

“Langkah DSAI adalah untuk pangkah sial tragedi Februari. Janganlah pula ada di kalangan elitis politik yang cuba sailang DSAI di tengah jalan untuk ambil kesempatan.

“Cukup-cukuplah sehingga membawa kita berberantakan dan rakyat menderita dan kita sudah semakin hampir keluar dari krisis politik.

“Cukuplah juga kita berbincang menuntut lebihan jawatan itu dan ini dengan syarat baru hanya untuk memenuhi ego kita,” katanya. – Malaysiapost