Nurul Huda Abhar
KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sembuh daripada Covid-19 dan dibenarkan keluar dari Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu, pagi tadi.
Turut dibenarkan pulang adalah isteri beliau, Datin Seri Julia Salag.
Hajiji turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah kes Covid-19 di Sabah dan memaklumkan kerajaan negeri akan berusaha sedaya upaya membendung penularan wabak itu.
“Yang penting rakyat mesti berdisiplin, bekerjasama dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Christina Rundi; Pengarah Hospital QEH 1, Dr William Gotulis; Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Dr Lee Heng Gee, serta para doktor pakar dan jururawat yang merawatnya dan isteri.
Hajiji juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat khususnya mereka yang sentiasa berdoa untuk kesembuhan dan kesihatannya.
Tambahnya, penghargaan turut diberikan pada petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus mengorbankan masa dan tenaga dalam membendung penularan wabak Covid-19.
Hajiji disahkan positif Covid-19 pada 9 Oktober lalu oleh Setiausaha Perhubungan Awam Ketua Menteri Sabah, Effendi Mohamed Sunoh.
Menerusi kenyataan sebelum ini, Hajiji secara sukarela menjalani kuarantin kendiri beberapa hari selepas seorang kakitangannya positif Covid-19. – Malaysiapost

