Buka meja di luar restoran boleh kurangkan risiko dijangkiti Covid-19 – Najib

0
1

Nurul Huda Abhar

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan kelonggaran diberikan kepada pengusaha premis restoran membuka meja di luar kawasan premis.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menimbangkan perkara itu untuk memudahkan pelanggan membuat penjarakan fizikal bagi menangani penularan wabak Covid-19.

“Risiko dijangkit Covid-19 adalah 20 kali ganda lebih rendah jika kita makan di ruang terbuka di luar premis restoran berbanding di dalam premis.

“Sebab itu, PBT perlu memberi kelonggaran untuk premis-premis makanan membuka meja di luar premis mereka tanpa didenda dalam tempoh krisis Covid-19 ini,” katanya menerusi catatan di Facebook, sebentar tadi.

Ahli Parlimen Pekan itu juga memuat naik fotonya duduk di meja di luar kawasan restoran sambil menikmati nasi bungkus.

Bagaimanapun, ada beberapa komen yang tidak bersetuju dengan cadangan beliau dan menyatakan lebih baik jika makan di rumah atau membeli secara bungkus seperti disaran kerajaan dan Kementerian kesihatan Malaysia (KKM).

“Tapi lebih baik lagi tak perlu keluar untuk melepak di kedai dan peratus jangkitan lebih rendah lagi…hanya tapau je (saja) ekonomi masih jalan…walau di tempat terbuka peniaga tak selalu lap meja atau sanitisi selepas pelanggan beredar…kesedaran adalah dari kita sendiri.” tulis Anjang Ngah Pian.

“Maaf Datuk..yang ni saya kurang setuju..seeloknya makan kat rumah..risiko jangkitan lagi rendah..maaf atas cadangan saya ni Datuk..Datuk memang terbaik,” kata Zull Azrii.

Namun, ada juga berpendapat cadangan tersebut boleh digunapakai bagi membantu penjaja kecil yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan tempoh hari.

Sehingga semalam, jumlah kes baharu positif Covid-19 adalah 869 dan semuanya adalah penularan tempatan.

Pecahan kes tertinggi adalah di Sabah sebanyak 451 kes dan empat kematian yang direkodkan semalam juga berlaku di negeri tersebut.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan sebelum ini mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya serta Sabah.

Malah yang terbaharu, Wilayah Persekutuan Labuan juga dilaksanakan PKPB.

Kerajaan mengambil langkah perlaksanaan PKPB di kawasan terlibat bagi menyekat aktiviti rentas negeri dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19. – Malaysiapost