Nasib penyewa premis Menara KL terumbang ambing

0
3

Najamuddin Mohd Nor

NASIB penyewa premis di Menara Kuala Lumpur bagaikan telur di hujung tanduk berikutan penjualan Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) kepada syarikat yang tidak sepatutnya.

Pengarah Urusan 360 Atmospehere Menara Kuala Lumpur, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, beliau tidak tahu masa depan perniagaan restoran berputarnya di mercu tanda negara itu.

Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin

Beliau berkata, pihaknya telah menerima notis agar keluar daripada premis di menara berkenaan pada 10 November lalu, namun dibenarkan beroperasi selama enam bulan lagi selepas membuat rayuan.

“Pihak saya telah mengadakan rundingan dan mereka pada 24 November lalu memberikan penyambungan selama enam bulan untuk syarikat saya beroperasi di Menara Kuala Lumpur.

“Jadi saya tak tahu masa depan perniagaan saya selepas enam bulan, ini bukan perniagaan di kaki lima, di kedai biasa, ini perniagaan ‘high end’ yang memerlukan modal dan perbelanjaan yang besar.

“Tapi saya tak pasti nasib peniaga lain, saya telah buat rayuan untuk pihak saya. Mereka saya tak pasti ada buat rayuan atau tidak,” katanya pada sidang media di ibu negara, malam tadi.

Shahriman yang sudah menjalankan perniagaan selama 12 tahun di Menara Kuala Lumpur turut mempersoalkan kredibiliti syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd yang mengambil alih konsesi MKLSB.

Katanya, selepas pengambilalihan saham MKLSB oleh syarikat terbabit, nasib penyewa-penyewa premis di Menara Kuala Lumpur semakin tidak jelas.

“Saya nak tahu adakah pemegang saham ini berwibawa atau tidak sebab ini Menara Kuala Lumpur… Anda menguruskan sebuah aset berkepentingan negara.

“Saya baru tahu nama syarikat yang ambil alih itu adalah syarikat Hydroshoppe saya ingat itu Shopee atau kedai apa,” katanya.

Shahriman turut mempersoalkan cara penjualan saham MKLSB kepada syarikat Hydroshoppe yang disifatkannya tidak masuk akal.

“Jadi, sekarang saya sebagai penyewa yang paling lama…nombor dua saya juga pembida untuk mendapatkan konsesi dalam Menara KL ini. Saya ikut segala prosedur termasuk syarikat lain tapi tiba-tiba jadi macam ni. Agak tak masuk akal,” jelasnya.

Beliau juga memaklumkan akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penjualan saham MKLSB kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here