
UMNO Perak masih belum memutuskan pendirian mengenai sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno akan dipertandingkan atau tidak pada pemilihan parti itu tidak lama lagi.
Pengerusi Perhubungan Umno Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara berkenaan akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat Badan Perhubungan Umno Perak yang dijadualkan pada 8 Januari ini.
Menurutnya, pendirian Umno Perak juga tertakluk kepada keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti yang dijadualkan bermesyuarat pada 5 Januari ini.
“Umno Perak belum buat keputusan kerana kita hanya akan mengadakan mesyuarat Perhubungan pada 8 Januari dan MKT akan bermesyuarat pada 5 Januari.
“Kita akan bincang dengan Majlis Tertinggi dahulu, tengok keadaannya sebab ada pro dan kontra, ada yang kata bagus dan ada yang kata tak bagus, kita tengok keadaannya,” katanya kepada media di Ipoh, hari ini.
Dalam pada itu, Saarani yang juga Menteri Besar berkata, kerajaan negeri tidak akan menstruktur semula individu yang memegang perjawatan tinggi dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri atau badan berkanun negeri.
Menurutnya, ia susulan beliau masih Menteri Besar dan menerajui pentadbiran kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, tiada perubahan terhadap lantikan di GLC juga kerana beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh individu yang dilantik sebelum ini.
“Selalunya kalau bertukar, jika Menteri Besarnya orang berbeza tetapi Menteri Besar orang yang sama, saya berpuas hati dengan prestasi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam GLC di Perak.
“Sama ada di PKNPk (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak), MB Inc. (Perbadanan Menteri Besar), Perak SADC (Perbadanan Kemajuan Negeri Perak), dan LAP (Lembaga Air Perak), saya akan kekalkan lantikan mereka,” katanya.
Saarani menjelaskan, pengekalan individu berkenaan juga kerana banyak program yang telah dilaksanakan secara bersama termasuk program berbentuk penilaian semula bagi tujuan penambahbaikan.
“Semua perjawatan itu pada dasarnya dilantik secara kontrak dwi tahunan iaitu setiap dua tahun dan ada antara kontrak perjawatan itu yang baru disambung semula semasa hampir PRU-15,” katanya. – Malaysiapost
