Keahlian Zuraida dalam PBM ditentukan seminggu lagi – Larry Sng

0
2

BAKAL Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin dan beberapa pemimpin tertinggi parti yang masih digantung keahlian akan mengetahui nasib mereka sama ada disingkirkan serta-merta atau sebaliknya.

Presidennya, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, kesemua mereka mempunyai masa tujuh hari sehingga Isnin ini untuk membalas surat tunjuk sebab dihantarnya Isnin lalu.

Ini berikutan Zuraida juga bekas Ahli Parlimen Ampang dan beberapa pemimpin parti lain tidak hadir ke mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi yang diadakan pada minggu lalu.

“Saya telah hantar surat tunjuk sebab Isnin lalu pada Zuraida dan mereka yang lain yang masih digantung keahlian.

“Jika mereka gagal untuk membalas surat saya hantar secara bertulis dalam masa seminggu ini, mereka akan disingkirkan daripada parti.

“Jika mereka menjawabnya sebelum tarikh akhir, saya telah mengarahkan jawatankuasa tatatertib untuk menyelesaikan status keahlian mereka,” katanya memetik Utusan Malaysia.

Ahli Parlimen Julau itu berkata, semasa mesyuarat itu, beliau telah mengembalikan jawatan dua ahli jawatankuasa pusat iaitu Datuk Chua Liam Chye dan Mira Muniraa Abu Bakar yang digantung tugas sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pada 29 Oktober lalu, Wei Shien ketika itu mendakwa masih Presiden parti yang sah menggantung 12 Ahli Majlis Tertinggi kerana pembabitan berterusan mereka yang didapati menggugat kepentingan parti dan kepemimpinannya.

Selain Zuraida, Lyam Chye dan Mira Muniraa, beberapa yang lain digantung tugas ialah Haniza Mohamad Taha, Dr Daroyah Alwi, Rahimah Majid, Dr. G. Sathiskumar, Muhammad Saiful Bahari Sahari, Na’im Brundage, Abdul Aziz Abdul Kadir, Zakaria Abdul Rahim, Datuk Roger Tan Seng Huat dan Albakri Salim.

Sebelum itu, Wei Shien menggantung Setiausaha Agungnya, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid yang merupakan sekutu Zuraida.

PBM sebelum ini dilaporkan telah meluluskan usul untuk melantik Zuraida sebagai Presiden baharu, namun belum ada kenyataan rasmi sehingga diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Wei Shien pada Jun lalu melantik Zuraida sebagai presiden pengganti dalam mesyuarat Biro Politik dan Majlis Tertinggi parti.

Ditanya sama ada beliau akan memenuhi janjinya menyerahkan jawatan itu, kata Wei Shien: “Biar jawatankuasa tatatertib tentukan nasib dan keahlian Zuraida.”

Pada PRU-15, PBM hanya menang satu kerusi di Parlimen Julau dan tewas di empat kawasan lain di Ampang, Hulu Selangor, Kapar dan Labuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here