Operasi SAR tragedi tanah runtuh masuk hari kesembilan

0
1

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kanak-kanak lelaki mangsa tragedi tanah runtuh Father’s Organic Farm yang masih hilang di Jalan Batang Kali-Genting diteruskan masuk hari kesembilan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, operasi akan ditumpukan di sektor A (hillview) kawasan pencarian.

“Pada jam 7.30 pagi, pasukan pemantau (recce) memulakan penilaian struktur tanah dan keadaan di ‘ground zero’.

“Operasi akan ditumpukan di antara sektor A yang dijangkakan lokasi terakhir mangsa berada,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, seramai 80 anggota terdiri daripada JBPM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) dikerahkan dalam operasi SAR sejak Sabtu.

Menurutnya, selepas selesai kerja penilaian tanah oleh pasukan pemantau, kerja-kerja pengesanan akan dijalankan oleh unit anjing pengesan (K9) sebelum pasukan SAR memulakan operasi mencari mangsa.

Seramai 92 individu terbabit dalam tragedi di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm Gohtong Jaya pada 2.42 pagi 16 Disember lalu, dengan 61 mangsa berjaya diselamatkan, 30 disahkan terkorban dan seorang lagi masih hilang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here