Covid-19: 6 kematian, 629 kes baharu

0
2

Fitri Nizam

SEBANYAK 629 kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini dengan enam kematian dan tiga kluster baharu dikesan.

Daripada jumlah kes baharu itu, dua kes import dicatatkan di Kuala Lumpur membabitkan individu yang pulang dari New Zealand dan Singapura.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Sabah terus mencatatkan jumlah kes baharu tertinggi apabila merekodkan 489 kes iaitu 77.7 peratus.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 50 kes dicatatkan di Selangor dengan lapan daripadanya adalah kluster baharu iaitu Kluster Merbok.

“Pulau Pinang pula mencatatkan 33 kes baharu, Labuan (19), Kuala Lumpur (8), Perak (9), Kedah (7), Johor (5), Melaka (3), Putrajaya (2), Negeri Sembilan dan Pahang masing-masing satu kes,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, terdapat tiga kluster baharu dikesan iaitu Kluster Merbok di Selangor, Kluster Buntar dan Kluster Lekir di Perak.

“Sehingga kini, terdapat 99 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 31 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, enam kematian yang dicatatkan hari ini adalah membabitkan lima di Sabah dan satu di Kuala Lumpur dengan kesemua mereka mempunyai sejarah perubatan.

“Jumlah keseluruhan kes kematian yang dicatatkan setakat ini ada sebanyak 176 kes iaitu 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19,” katanya. – Malaysiapost