Covid-19: KKM aktifkan semula akaun Amanah

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengaktifkan semula Akaun Amanah Pembelian Kelengkapan, Keperluan Perubatan, Kemudahan dan Perkhidmatan bagi membolehkan sumbangan diberikan orang ramai untuk membantu petugas barisan hadapan.

Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min, berkata akaun itu diaktifkan semula selepas pihaknya mendapat banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak yang ingin memberikan sumbangan susulan peningkatan kes Covid-19 mutakhir ini.

Justeru, beliau berkata, KKM telah mengaktifkan semula penerimaan sumbangan tunai di bawah akaun amanah ini.

“Kementerian Kewangan juga telah meluluskan kemudahan potongan cukai di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi sumbangan tunai ke akaun amanah ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menyalurkan sumbangan menerusi bank RHB bernombor 2-66016-0002347-5 di atas nama Sumbangan Perubatan KKM.

Dr Chen berkata, KKM tidak melantik mana-mana pihak atau ejen bagi melaksanakan kutipan sumbangan tunai atas nama kementerian.

“Akaun amanah ini wujudkan pada 23 Mac lalu sebelum ditutup pada 31 Mei dengan jumlah kutipan sebanyak RM31.7 juta disumbangkan syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.

“Sebanyak RM30.6 juta diluluskan untuk dibelanjakan di peringkat KKM dengan baki sumbangan sebanyak RM1.07 juta,” katanya. -Malaysiapost