BAYARAN fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 akan disalurkan kepada 10.6 juta penerima sedia ada mengikut kategori isi rumah dan individu bujang secara berperingkat bermula 26 Oktober ini.
Sebanyak RM7 bilion diperuntukkan dengan pecahan bayaran fasa pertama berjumlah RM4.8 bilion bagi isi rumah B40 yang akan menerima RM1,000 sementara RM500 kepada 3.8 juta kumpulan B40 bujang.
Kumpulan ketiga adalah kepada 1.4 juta isi rumah M40 yang akan menerima RM600 sementara 1.7 juta kumpulan M40 bujang akan menerima RM300.
Bayaran BPN 2.0 akan dibuat secara dua kali bayaran, yang pertama pada hujung Oktober ini dan kemudiannya pada Januari 2021.
Bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama Oktober adalah sebanyak RM700 dan pada Januari 2021 adalah sebanyak RM300.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata kerajaan peka dengan kesukaran yang dialami oleh rakyat pada saat pandemik Covid-19 ini.
“Sehubungan itu, BPN 2.0 adalah sebahagian daripada Kerangka Inisiatif Tambahan, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin) bernilai RM10 bilion yang diumumkan Perdana Menteri pada 23 September lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, permohonan baru BPN 2.0 dibuka mulai 15 Oktober sehingga 15 November ini bagi membantu kumpulan yang belum pernah menerima BPN sebelum ini termasuk golongan mudah terjejas baharu yang layak memohon akibat perubahan terhadap status pendapatan mereka ekoran impak penularan Covid-19.
Menurutnya, bagi memastikan BPN sampai kepada mereka yang benar-benar layak, proses semakan atas permohonan baharu akan dibuat dalam kadar segera.
“Bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekaligus pada Januari 2021.
“Pemohon baharu BPN 2.0 boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi BPN iaitu https://bpn.hasil.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat lanjut atau untuk membuat permohonan,” katanya – Malaysiapost

